Ezzah Mahmud
Proses Menulis Hati Ini Milik Mu – Episod jatuh bangun menuju Tuhan
Assalamu’alaikum! Hi!
InsyaAllah, dalam blog kali ini, saya akan berkongsi sedikit sebanyak proses menulis karya adaptasi dan terjemahan buku Reclaim Your Heart milik Yasmin Mogahed he bahasa Melayu. Bismillah.
Sugguh, mengenal karya Yasmin Mogahed, daripada proses pembacaan, kemudian proses-proses seterusnya, hinggalah terhasil buku yang boleh anda dapat sekarang, setiap satu langkah yang saya tempuh, semuanya tepu tarbiah, semuanya ujian, semuaya berpaksikan satu, tidak lain dan tidak bukan, kedekatan pergantungan setinggi-tingginya dan sepenuh-penuhnya kepada Allah S.W.T.
Bukan itu sahaja, satu perkara yang masyaAllah, saya kira mengubah saya seluruhnya ialah bagaimana sesuatu perkara yang istimewa itu, zahir daripada ujian yang khusus daripada Allah S.W.T.
Alhamdulillah, saat saya ditawarkan untuk menterjemah buku Reclaim Your Heart ke bahasa Melayu, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya, masyaAllah, ‘betul ke ni?’,’Layak kah saya?’ Buku Bestseller dan buku yang dicintai dan dikasi oleh semua pembacanya kerana, buku semestinya telah menyentuh hati-hati untuk kembali, menghadap Allah S.W.T. Siapalah kiranya sayaaa.
Tapi, motivasi saya satu, saya waktu itu memang berazam, sebab saya sayang dan cintakan karya ini, makanya saya mahu berikan dan kongsikan rasa cinta itu dengan insan-insan lain yang mungkin kurang fasih dengan bahasa Inggeris untuk turut sama boleh membaca dan menikmati dan mendapat manfaat daripada buku ini, sebagai mana yang saya dapat. Salah seorang yang saya memang harap dapat baca buku ini ialah mak saya, Puan Zauyah Mat. Beliau memang suka baca buku. Minat membaca yang terpasak kukuh dalam diri saya ini pun tidak mungkin jadi nyata kalau mak tak bersungguh usaha untuk bawa saya dan kakak ke kedai buku bila ada sahaja masa terluang. Alhamdulillah, di dalam keluarga kecil saya, terutama mak, mak seringkali bawa ke kedai buku kalau ada duit lebih, belanja beli buku, sentiasa, belanja beli baju, tunggu raya. Alhamdulillah, makan buku ‘kenyang’ =D
Saya pun mulalah menterjemah buku ini, satu persatu bab saya siapkan, dan Alhamdulillah, selepas hampir 6 bulan, terhasilkan sebuah buku terjemahan. Saya pun berikan kepada pihak penerbit. Alhamdulillah, selepas menelusurinya, pihak penerbit tidak mahu terima. Dan mengimbau kembali, apabila membaca kembali karya draft pertama, saya pun tak rasa boleh atau layak terbit. 1) Bila terjemah, dan kita sedia maklum, bagi yang mengenali buku Reclaim Your Heart, buku ini punyai satu aras kepuitisan yang andai diterjemah, tidak begitu sampai, dan faktor bahasa juga main peranan. Waktu itu juga, saya seringkali menyoal diri saya, boleh ke tak ni? Mampu ke kau buat ni? Draft pertama ditolak, saya pun apa lagi, tulislah sekali lagi. Alhamdulillah, Ala kulli hal.
Kemudian, Draft kedua saya mula tulis, kali ini, saya tukar teknik. Saya tidak terjemah sebagaimana saya terjemah draft yang pertama. Saya baca dan terjemah mengikut perenggan, satu demi satu, masih, saya sangat berhati-hati kerana saya tidaklah mahu lari jauh daripada cara dan gaya penulisan Ustadha Yasmin Mogahed dan saya tidak lupa untuk pastikan mesej yang ingin disampai tidak terubah. Selepas siap draft kedua, saya langsung berikan kepada penerbit, secara umumnya, untuk draft kedua, jelas perbezaanya, tetapi, masih belum sampai, belum betul-betul matang untuk diterbitkan. Selepas itu, selepas berbincang dengan penerbit, beliau cadangkan agar saya bertenang, ambil nafas, dan cuba tulis berpaksikan pemahaman saya terhadap buku Yasmin, dan guna gaya bahasa saya. Jangan ikat diri saya tetapi biarkan ilham penulisan itu, sambil berlandaskan dan merujuk sepenuh-penuhnya kepada buku Yasmin. Saya pun mulai menulis draft ke-3.
Sewaktu menulis draft ke-3 inilah saya hadapi ujian yang besar. Waktu saya baharu tamat diploma penulisan kreatif UiTM, saya pun pulanglah ke rumah, di Pulau Pinang, usai beberapa minggu di Pulau Pinang, ibu saya dimasukkan ke hospital. Ibu saya menghidapi penyakit mental yang dikenali sebagai Schizophernia. Beliau sudah dibayangi penyakit itu sewaktu beliau muda lagi, dan selang beberapa tahun, episod-episod psikotik beliau akan berulang. Saya berpeluang untuk bertemu dengan doktor beliau pada waktu itu, dan doktor itu beritahu, banyak faktor yang boleh menjadi pencetus kepada episod-episod ini, antaranya ialah berlaku perubahan besar, tidak kira baik atau buruk, makanya, saya dengan automatis, menyalahkan diri saya, kerana sayalah perubahan itu, sayalah punca ibu sakit. Sayalah asbab utama.
Selepas itu, entah macam mana, saya rasa bersalah sangat-sangat, dan satu demi satu hari berlalu, saya rasa sedih, rasa, ish, mungkin ada kemungkinan saya pun mewarisi penyakit mental ini, mungkin saya tak dapat jadi yang terbaik disebabkan penyakit ini. Sungguh hampir dua bulan saya rasa tak cukup baik, dan waktu itu saya sedang menyiapkan draft ke-3, selepas hampir ¾ buku Yasmin saya selesai adaptasi dan terjemah, saya rasa ibarat apa yang telah saya tulis ini, tidak begitu bagus, baca sahaja rasa nak muntah, terus, saya padam semuanya, semua sekali, lalu, terlepaslah tarikh akhir yang sepatutnya saya hantar.
Selepas itu, baharu saya tahu yang sebenarnya kemurungan, mulanya saya tidak tahu, tetapi selepas saya beritahu reaksi saya kepada penerbit, dan masyaAllah, beliau sangat memahami, dan tenangkan saya, ingatkan saya untuk tidak stress, dan buang perasaan negatif jauh-jauh, dan dekat-dekatkan dengan Allah, dengan Quran, dan jangan terlalu fikirkan, usaha sahaja dulu, hasil Allah yang tentukan. Dan waktu itu, saya baca buku Yasmin dengan hati yang lapang, selapang-lapangnya, seperti pertama kali membacanya walaupun waktu itu dah entah ke sekian kali menelusurinya.
Kali ini, semua perkataan masyaAllah, mudah sahaja mengalir, buku ini sekali lagi bermakna, dan bererti, setiap perkataan seperti berkata-kata khusus untuk saya, semua yang tertulis masuk terus, membidik tepat ke hati. Dalam proses menulis draft yang ke 4 ini jugalah, sewaktu mengadaptasi dari satu bab ke satu bab, terasa sangatlah dekat kerana saya sepenuh-penuhnya berkait dengan apa yang ditulis. Bab pertama, perihal keterikatan, buat saya ingat, dan pancar jelaskan perspektif kehidupan saya, semua ini sementara, cinta dan kasih sayang di bab kedua, ingatakan saya tentang nilai cinta sebenar, bab ke-3 menyetuh tentang hubungan dengan Pencipta, bagaimana semua yang berlaku kepada saya ini adalah tarbiah dah buat saya periksa balik hubungan saya dengan Allah S.W.T. ada lompong dan lohong yang buat saya lemah mungkin. Dan bait-bait puisi di bab terakhir, semestinya telah menyentuh sudut hati saya yang paling dalam, paling halus, paling seni.
Alhamdulillah, terhasilkah buku yang berjudul Hati Ini Milik Mu, sebuah buku yang lahir dari sisi diri saya yang paling jujur, disalut payah jerih dan jatuh bangun, dan tarbiah yang tidak henti daripada Allah S.W.T. Doa saya, agar buku ini menjadi manfaat kepada pembaca dan menyentuh hati-hati yang menikmatinya dan kembali menjuruskan hati kita kepada Pemilik Hati yang sebenar.
Ameen.
Ps. Untuk mendapatkan buku ini, anda boleh lawati www.lightuponlight.net
#Jiwa #mak #English #Buku #Life #Ceritera #manusia #Diari #Baca #Inspirasi