Ezzah Mahmud
Malam – Cerpen Pendek

23:42, waktu yang terpapar di skrin telefon bimbit Asus Zenfon4 milik Ezzah.
Dia tatap telefon itu seketika sebelum mengalihkan seluruh pandang dan raganya ke skrin komputer. Lampu bilik dia tutup, hanya lampu meja dibuka. Serlah terang refleksi rautnya di kaca skrin. Sungguh, dia pun keliru dengan apa yang sedang fikir.
“Aduh, nak tulis apa ni?” sembang seorang dia dalam kotak fikir.
“Tapi rasa ni perlu dimuntahkan ludahkan keluar, biar lama-lama, kelak jadi bom, tunggu masa meledak pecah” mindanya berpencak lagi.
Dingin malam terasa menusuk, sengaja dia biar alat pemanas tertutup, jimat elektrik, jimat kos, Jimat!
Malam ini malam sunyi, Ezzah biarkan segenap fikirannya berterbangan ke serata tempat. Ezzah cuba untuk tidak rasa, kerana dia sangat amat sungguhlah tidak fasih dengan perasaan miliknya dan bagaimana cara yang terpaling ‘betul’ atau sesuai untuk dia abar-pasakkan demi menghadap seisinya. Andai bisa dia ceritakan apa yang dia rasa, kalah Hikayat Panji Semerang.
Yang pasti, Ezzah tahu bahawa dia sedikit tidak keruan.
Jemari Ezzah cuba menari-nari di papan kekunci, terkadang, dalam cubaan untuk menyusun kata-kata, jermarinya jeda seketika. Ada masa, akalnya didepa selebar mungkin, cuba untuk mencapai pucuk-pucuk ilham yang berlari-lari melepasinya.
Ezzah tidak merancang untuk tidur malam ini. Dia mahu tunggu bintang singgah tepi tingkap, ajak dansa.