top of page
  • Writer's pictureEzzah Mahmud

Jerih

Menulis ialah sisi tenang yang saya cari.

Saat saya tidak mahu berdepan dengan realiti dunia yang sememangnya mencincangcung saya kepada dadu-dadu kecil hirisan yang punah segenap harap, saya cari pen dan buku nota, lagi indah kalau ada komputer riba, saya capai dari sisi dan menaip segala apa yang melintas di dalam kepala dan hati saya agar dapat dimuntah-ludahkan seluruhnya. Sungguh, semua yang terlahir terlalu pahit untuk dibaca kembali. Buruk. Sampah. Darah beku yang menjemput penyakit. Sakit.

Belakangan ini pelbagai ujian yang dianugerahkan kepada saya. Dianugerahkan. Iya. Sengaja saya nyatakan begitu kerana Allah ciptakan ujian untuk kita semuanya berbeza-beza dan saya terima ujian yang Allah berikan kepada saya dengan sekelumit daya dan berani yang Allah tanam sedia ada dalam hati. Saya cuba. Mencari balik setiap kekuatan yang berada di dalam setiap satu sel yang wujud di dalam diri saya. Makin saya cuba menjadi berani, belakon dengan diri sendiri, tipu diri sendiri dengan mengatakan diri saya kuat dan saya mampu melalui semua ini. Bohong! Dan oleh sebab bohongan inilah, saya malu untuk mengaku lemah dan tidak melepaskan segalanya, bergantung dengan yang selain daripadaNya. Salah! Hanya Dia yang perlu saya cari demi mendapatkan kekuatan, hanya daripadaNya.

Saya tahu saya tidak mampu untuk mengadu kepada anda, manusia yang mungkin sedang membaca tulisan ini. Walau saya cuba. Saya tahu anda juga mungkin sudi mendengar setiap satu keluhan hati ini. Mungkin. Boleh. Andai saya ceritakan perihal kesusahan yang saya hadapi dengan harapan anda mungkin sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk mungkin menyelesaikan masalah saya, ternyata tidak. Semuanya sendiri seorang sepi, dan hanya Allah juga yang saya cari akhirnya. Allahu Akhbar!

Sungguh, usai kita melalui waktu-waktu susah, baharulah kita ‘lebih’ ingat kepada Allah. Saya manusia biasa yang tidak dapat lari dari kealpaan itu. Insan. Pelupa. Ada dalam darah daging anak Adam sekaliannya. Perlu sentiasa diingatkan. Cara terbaik untuk Allah bawa kita kembali kepadaNya ialah dengan membuatkan kita terjatuh-tehempas-tergolek-terpecah-berderai-dipijak-pijak-remuk-tersepak-sepak-jatuh-tepi-gunung-di-lapangan-yang-paling tinggi hinggalah kita tidak tega lagi untuk angkuh dan tidak mensyukuri nikmatNya.

“Nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan?”

Sungguh, saya menipu diri saya sendiri, berlagak kuat untuk membuatkan orang disekeliling saya sedar dan anggap saya kuat. Ah, penat begitu. Saya yang terseret muka di tar jalan hitam panas. Semua orang Allah akan jaga, rasa risau di dalam diri ini saya tidak kenal kenapa mana apa sebenarnya. Biar semuanya berlaku dan berlalu, kita hanya perlu lakukan terbaik agar kita sudah melakukan apa yang termampu tanpa menipu dan mencederakan diri dan hati sekaliannya, hati diri sendiri semestinya. Hati seketul ini milikMu ya Rabb.

Betapa aku kurang bergantung kepadaMu Ya Allah, ampun 😥

Moga dipermudah, Ameen.

Jazakallahu khayra.

0 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page