top of page
  • Writer's pictureEzzah Mahmud

Hai, nama saya Sunyi


Mak bertudung merah hati, kakak berbaju hijau, atok berselendang hitam, sepupuku Hashiza ber tudung hitam, yang ungu lain semua keluarga Paksu

Mak bertudung merah hati, kakak berbaju hijau, atok berselendang hitam, sepupuku Hashiza bertudung hitam, yang ungu lain semua keluarga Paksu.


Petang sabtu yang agak sunyi di Puncak Perdana. Atas kalender terukir tarikh 1 Syawal 1434 sepuluh hari yang lalu. Saya sudah berada di kampus sejak 4 Syawal. Sepanjang minggu ini cuma ada satu kelas yang berjaya berjalan dengan lancar iaitu pada hari isnin, kelas Kesenian dan Warisan Melayu.

Sejujurnya, boleh saya klasifikasikan subjek ini sebagai antara yang paling mencabar semester ini sebab gabungan personaliti pensyarah yang susah untuk saya fahami dan toleransi serta ilmu hantu-hantu, pengkelasan steriotipikal dan beberapa pekara yang saya kira bisa mengganggu-gugat prinsip dan kepercayaan saya tentang cara saya lihat dan fahami dunia. Mungkin juga saya ter’hiperbola’ sedikit. Maaf, tapi percayalah, siapa yang mengambil subjek ini pasti setuju dengan apa yang saya perkataakan, kalau tak banyak sikit. Kan?

Petang sabtu yang sungguh sunyi di Puncak Perdana. Rakan-rakan sekolej/rumah/bilik yang 7 itu semuanya pulang ke rumah masing-masing sejak semalam. Mungkin hari raya masih lagi terlalu cepat untuk dibiarkan pergi. Atau keberadaan di kampus membosankan dan tidak memberi bahagia. Mungkin. Atau kesunyian yang merangkul diri buat setiap seorang rasa lemas dan ambil keputusan untuk bingkas pulang ke rumah masing-masing walau cuti dua hari cuma?

Terus terang saya katakan, saya jarang sekali pulang ke rumah. Kota George yang tersergam indah di Pulau Pinang itu sudah bisa mengira berapa kali pulangnya saya ke rumah sejak menuntut di sini, di UiTM Puncak Perdana.

Perasaan pulang beraya untuk Syawal kali ini berbeda. Buat saya lebih ingin pulang ke rumah, dengan lebih kerap, dengan lebih lama. Mengapa? Ada beberapa barangkali ini dan itu.

Pertama, saya lahir sewaktu usia mak saya 36. Agak lewat untuk seorang wanita punyai anak kedua dan terakhir pada usia 36 tahun. Mungkin ada ramai juga yang mendapat anak agak lewat. Tak jadi masalah, rezeki. Kini saya berusia 20 tahun, mak pula sudah 56. Ayah saya lahir tahun 1955, kini usianya 58. Untuk raya tahun ini, saya hanya sempat meluangkan masa lebih kurang seminggu dengan mereka sebelum pulang semula ke kampus. Saya masih boleh bayangkan wajah mak dan ayah saya yang datang menjemput saya di terminal Feri pagi tu, dengan senyuman yang hanya terutus dari Jannah! Saya tahu mereka rindu saya. Dan kerinduan itu tidak boleh diganti dengan panggilan telefon mahupun sms.

Pagi raya, saya dan mak pergi menunaikan solat sunat hari raya di masjid berdekatan dengan rumah kami. Ayah waktu itu sudah pulang ke Kuala Kedah, beraya di kampungnya. Saya, mak dan kakak beraya di Georgetown. Atok saya tinggal di sini dan jaraknya hanya lima minit berjalan kaki dari terminal Feri. Masjid Sungai Pinang penuh. Ramai jiran yang tidak saya kenali turut ada di situ waktu itu. Semasa mendengar khutbah hari raya, saya merenung wajah mak saya yang duduk bertelekung di sebelah kanan saya. Mak menggenyeh matanya hingga separa merah. Saya tanya kenapa. Mak kata mak dah tak nampak sangat, macam ada selaput katanya.

Waktu itu saya dalam tenang senang ingin menikmati hari raya tiba-tiba rasa sebak. Entah. Saya rasa yang mak saya cuba untuk pandang saya yang jarang balik ni tapi kini pandangannya sudah kurang jelas. Pandangannya dimamah usia dan juga ubat-ubat yang mak ambil tiap-tiap hari tinggalkan kesan sampingan kepada diri mak. Mak saya pun tidaklah begitu sihat. Sakit-sakit yang pelbagai.

Saya rasa mak saya bahagia sangat kalau saya ada di rumah. Mak saya isteri kedua. Ayah saya sehari di rumah isteri pertama akan berselang seli dengan rumah saya. Saya dan kakak kedua-duanya sedang belajar di institusi pengajian tinggi dan bakal tamat pengajian hujung tahun ini. Adik bongsu saya, yang nombor enam, yang paling muda dalam keluarga, anak mak saya yang lagi satu, tinggal bersama mak saya. Sengaja ayah saya atur begitu kerana mak saya sering seorang sejak saya dan kakak mulai masuk ke MRSM dan universiti. Walau adik ada, temankan mak saban hari, tapi saya tahu yang mak gembira kalau saya ada bersama.

Kedua, mak sudah lama mahu ke Mekah. Mak dah lama tak kerja. Ayah pula pesara tentera. Dapatan bulanan pun tak banyak mana. Nak simpan jauh sekali. Saya dan kakak keduanya masih lagi belajar. InsyaAllah, saya akan tamat diploma hujung bulan Oktober, kakak pula akan tamat praktikal di Petronas awal bukan September dan sambung satu lagi semester di MMU. Saya pasti saya dan kakak bertekad untuk menunaikan umrah bersama mak dan ayah dalam masa 3 ke 5 tahun lagi insyaAllah. Oleh itu saya dan kakak perlu bekerja keras untuk menunaikan impian ini, impian kami, tapi lebih penting impian mak. Dalam masa yang sama, bolehlah kumpul-kumpul duit sekali untuk hantar mak dan ayah menunaikan haji. Usia mak dan ayah pun dah banyak. Tidak boleh tunggu lama lagi, kaki dah mula sakit, mata dah kurang jelas. Ternyata, saya hadap hidup tiap-tiap hari dengan memikirkan perihal ini.

Ketiga, saya tahu mak bangga dengan saya. Dengan apa yang saya buat, apa yang saya usahakan, apa yang saya visikan dan apa yang saya mahukan. Mak tahu yang saya ni mampu mandiri. Saya merasakan yang mak sokong apa yang saya lakukan dan mak tak pernah bantah. Mungkin mula-mula dulu waktu nak ambil keputusan untuk belajar kursus yang sememangnya tidak ada langsung kena-mengena dengan apa-apa yang saya pelajari di MRSM, mak agak gusar. Tapi selapas hampir lima semester di sini, mak tak pernah tengok saya tak bahagia belajar kursus ini. Ayah pun sama. Beberapa minggu yang lalu, saya hanya ceritakan kepada ayah yang saya tidak punya tripod. Agak sukar untuk saya lakukan penggambaran sendiri andai sering meminjam tripod kawan. Ketahuilah, waktu pulang beraya tempoh hari, sesampainya saya di rumah, ayah terus berikan satu set tripod secondhand yang ayah beli di roadwalk/roqwoq/pasar karat. Saya sedari kecil tidak pernah suka dengan tabiat ayah yang sering membeli barang di pasar karat itu, pada saya semuanya hanya membazir dan hanya akan memenuhkan lagi rumah kami yang sedia kecil itu. Tapi, sewaktu ayah hadiahkan saya dengan tripod itu, semua rasa skeptikal dan kebencian saya terlempar jauh ke luar tingkap. Saya sudah mula bisa terima tabiat ayah saya yang satu itu. Mungkin belum boleh terima sepenuhnya tapi saya sudah lebih terbuka untuk kurang bebel dan lebih cuba untung menghargai apa yang ayah beli. Dah ayah, nak buat macam mana, kan?

Keempat, saya dapat rasa yang saya mungkin akan pergi merantau jauh. Tak pasti kenapa tapi saya merasakan yang saya mungkin akan pergi jauh dan pergi lama. Tak kiralah belajar mahupun bekerja tak mustahil juga untuk berkeluarga. Jadi, saya perlulah dan sepatutnya meluangkan masa yang berkualiti dengan mak dan ayah saya sementara saya masih mampu. Kelak bila sudah berkeluarga, fokus sudah lebih dari satu, suami, mak ayah, anak-anak dan kerjaya. Bukannya tidak boleh ketemu langsung, tapi pastinya saat itu akan berbeza. Lebih afdhallah andai saya bisa berbakti sepenuh-puasnya terhadap mak dan ayah sebelum berumah-tangga. Saya memang berniat nak kahwin di usia yang muda andai ada jodoh dan mak ayah saya sedia maklum mengenai hal ini. Mak pernah kata, “mak dah dekat enam puluh tahun, cucu sendiri seorang pun tak ada lagi”. Saya tahu yang mak teringin cucu, tapi anaknya dua-dua baharu saja mahu tamat belajar. InsyaAllah, ada rezeki nanti adalah cucu mak. Bakal menantu mak pun belum lagi ketemu. Mungkin sudah mungkin tidak. Saya mahu rasa seperti sudah ketemu, tapi saya tak boleh nak kata sangat tentang ini. Saya, kalau ikut hati mahu sahaja mewakilkan keluarga saya untuk ketemu sama mak ayah si timba, menyatakan segala hasrat di hati, saya si perigi yang proaktif insyaAllah. Tapi lebih molek andai timba yang berbuat demikian.

Petang sabtu yang amatlah sunyi di Puncak Perdana. Saya pun dah tak lama di sini, paling lama pun mungkin dalam dua bulan sahaja. Kemudian akan pulang ke Pulau Pinang meluangkan masa dan menebus kembali sedikit sebanyak waktu yang saya tidak manfaatkan bersama mak dan ayah. Tentu mereka dah penat sunyi.

Ps. Timba, kalau anda sedang baca ni, mak saya ajak datang rumah, raya. Ikhlas, Perigi. Pss. Mungkin satu hari nanti si Timba bisa juga ada dalam gambar ini. =P


Mak tangannya di dada, kakak yang tampak sungguh bahagia, atok tengah buat tarian robot, sepupuku Hashiza wat lek wat peace , yang ungu lain semua keluaga Paksu yang jelas suka freestyle masa ambil gambar!

Mak tangannya di dada, kakak yang tampak sungguh bahagia, atok tengah buat tarian robot, sepupuku Hashiza wat lek wat peace , yang ungu lain semua keluaga Paksu yang jelas suka freestyle masa ambil gambar!


#mak #raya

1 view0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page