top of page
  • Writer's pictureEzzah Mahmud

Cinta Buku-Buku


Image

Mejaku saat di MRSM Balik Pulau, 2009-2010

“Ada apa dengan buku?”

“Kenapa buku kau banyak sangat?”

“Asal tak simpan dalam kotak sahaja, dah semak aku tengok meja kau”

Biasa. Semua yang dinyatakan di atas biasa didengar telinga kiri kananku ini.

Izinkan wahai pembaca budiman. Diri ini ingin bercerita.

Sejak kecil lagi, bermula tahun 1998 seingat kepala, mak selalu membawa aku ke kedai buku Popular yang berada di Kompleks Tunku Abdul Rahman (KOMTAR) di tengah bandar Georgetown. Bandar di mana aku dan kakakku dilahirkan dan dibesarkan. Rumah atokku yang berada kurang 5 minit daripada KOMTAR jika berbasikal itu membuatkan aku sekeluarga kerap berkunjung ke sana. Bermotosikal! Belum rezeki untuk peroleh kereta waktu itu!

Mak. Mak yang bertanggungjawab menerapkan, menyuntik, menanam pasak minat yang kukuh dalam diri ini. Mak pernah menyatakan yang dia inginkan perpusatakaan mini di rumah kami. Benar! Makbul hajat mak, bilikku kini persis perpustakaan. Bajuku boleh dibilang jari. Bukuku pula berbilang almari (Unsur hiperbola di aplikasikan =P ) tapi sungguh, baju-bajuku bilangannya jauh lebih sedikit daripada buku!

Bila usia meningkat saban hari, aku sudah boleh beza mana baik buruk, mana nak beli buku dan buku apa yang berbaloi beli. Kakakku juga punyai kecintaan yang sama. Di awal belasan usianya, dia kerap memberi buku-buku Sweet Dream. Dia juga yang memperkenalkan kedai buku Second-hand kepadaku. Tidak jauh juga letaknya dari rumah ku. Kedai tersebut letaknya di sebalik kedai baju dan kain serta kedai kasut lama di tingkat dua, Pasar Chowrasta, Penang Road. Anda yang bercadang untuk berkunjung ke Pulau Pinang, jangan lepaskan peluang untuk melawat dan membeli buku di sini. (Masya Allah, heaven sangat dapat lepak dekat sini, indah! macam berada di kedai buku zaman Indiana Jones)

Kedai buku Popular juga main peranan yang penting dalam membunga mekarkan cinta aku pada buku-buku. Aku pemegang kad ahli Popular bookstore sejak dari bangu sekolah tadika yang kurang 10 inci itu. Kelebihan yang setiap pemegang kad dapat ialah rebate 10% untuk semua yang bertanda harga warna putih. Aku amatlah terkesan dan menghargai 10% pengurangan harga ini! Walaupun hanya 10%, besar nilainya kepadaku. Bayangkan, buku yang RM 20.00, dengan kad ahli boleh dapat dengan RM 18.00 sahaja, RM 2.00 itu boleh beli ais krim Cornetto!

Cintaku makin tebal apabila seusai SPM berakhir, aku terus menuju ke Popular Bookstore yang aku telah kunjung sejak zaman tadika aku dulu untuk jawatan kosong. Terus, aku menzahirkan sedaya upayaku berkata-kata dan berbicara dalam bahasa Inggeris untuk menambat hati Mr. Lim. Langsung, aku pikir pengurus Popular KOMTAR itu suka akan caraku dan pembawakan diriku, terus, aku diambil bekerja! Alhamdulillah.

Bagai bulan jatuh ke riba, bagai orang mengantuk disorongkan bantal!

Impian aku untuk bekerja dan bergelumang dengan buku tiap hari tercapai! Aku mula bekerja keesokan harinya. Aku ingat dengan jelas, tarikh aku mula kerja ialah 21 Desember 2010 dan aku berhenti pada 18 Mei 2011. Masya Allah, duit yang aku dapat berkat kerja kuatku dan azam yang tinggi minggi itu, aku guna untuk daftar masuk ke UiTM, Diploma Penulisan Kreatif dan Artistik, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Sungguh, oleh sebab cintaku pada buku, aku yakin menulis ialah cintaku.

Walaupun aku pelajar MRSM dahulu, aku yakin yang jalan ini ialah jalanku!

Berbalik kepada idea asal, persoalan-persoalan yang tiada titik henti;

-Buku ada ilmu yang aku mampu bina dunia lain di dalam kotak fikirku. Satu bentuk eskepisme juga barangkali

-Buku perlu banyak, supaya aku tidak rasa sunyi dan kekok berdamping dengannya.

-Buku semua aku perlu letak dia atas meja, biar mudah lihat, biar mudah capai, biar tepu penuh!

ps. Aku juga ingin hasilkan satu dan berpuluh berikutnya. Amiin… Doakan aku berjaya! Baaraakallahu feekum!

0 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page