Ezzah Mahmud
Cardiff – Sebuah Perjalanan Baru Nak Mula. Bismillah!

Mak Ayah… Ezzah dah selamat sampai, Alhamdulillah.
Saya bertolok ke KLIA dengan kakak saya dan sahabatnya, Kak Lina. Kami gerak dari rumah sewa kakak di Cyberjaya, usai solat Maghrib, 6 Oktober 2014. Satu beg tarik, satu beg galas dan satu beg sandang saya bawa. Alhamdulillah, saya bawa barang-barang yang saya kira 100% keperluan semata-mata. Dalam perjalanan, banyak perkara yang bermain di dalam fikiran saya, yang paling nyata tak banyak, satu cuma.
Ya Allah, syukur syukur padaMu kerana makbulkan doa hambaMu ini nak sambung belajar dekat luar negara.
Sampai KLIA kurang 30 minit lepas tu. Mak dan ayah gerak dengan Abang Wan, suami sepupu baik saya yang sudi menghantar mereka ke KLIA. Adik dan Mak Idah, mak saya yang lagi satu turut ada sekali. Mereka pun sampai tidak lama selepas itu. Selepas check in beg dekat Kaunter KLM Royal Dutch Airline, dekat Kaunter J, beg galas saya terlebih berat hampir 4kg. Pegawai dekat kaunter tu suruh repack dan datang check in balik. Saya dan kakak pun gerak ke tepi, keluarkan beberapa album Linkin Park, buku-buku filem seperti Save The Cat dan Alhamdulillah, terpatuhlah peraturan agar beg tu tidak lebih 13 kg.
Lepas dah check in beg, saya yang waktu itu belum menikmati makan malam mengajak semua ahli keluarga saya menuju ke medan selera untuk menjamah sesuatu, isi perut apa patut. Kurang beberapa minit selepas itu, Kak Aizan sampai. Kak Aizan ni kakak merangkap sahabat baik saya yang sentiasa persis mentor yang sentiasa tidak pernah lupa untuk mengingatkan dan menasihati saya.

Ohana!
Sepanjang saya berada di KLIA, masa rasa pantas melintas. Satu detik ke detik yang lain. Penerbangan saya berlepas jam 0030, 7 Oktober. Boarding pukul 2310. Sesi bergambar dan peluk cium serba serbi, saya perasan ayah sebak. Adoiyai, mau tak luluh hati. Beliau yang lebih bersungguh-sungguh usaha bersama-sama dengan saya dalam cubaan mendapatkan pinjaman pelajaran MARA yang melibatkan tidak kurang 14 kali perjalanan naik turun pejabat MARA yang akhirnya membuahkan hasil. Alhamdulillah!
Saya masuk ke balai berlepas dan sempat toleh ke belakang, meninggalkan mereka semua dengan pandangan dan senyuman serta sebaris tempik, “Jumpak 2 tahun lagi insyaAllah!”

2 tahun ja, insyaAllah.
Alhamdulillah, saya percaya 2 tahun ini hanya umpama satu fasa yang akan saya dan keluarga lalu. Ala, macam waktu dekat MRSM, Tingkatan 4 dan 5, cuma kali ini dekat negara yang berjarak 10,692km nun di UK dan 7 jam perbezaan waktu. Di dalam kesempatan itu, saya sempat hantar beberapa potong mesej Whatapp kepada rakan-rakan baik saya, Fatin, Esah, Atheeqah, Alee, Dzul, Jeycobs, Akwa memberitahu yang saya akan berlepas beberapa minit lagi.

Sebelum menginjak ke dalam pesawat, saya jitukan niat dan saya doa sungguh-sungguh agar Allah lindung, pelihara dan mudahkan urusan untuk saya sampai ke Cardiff, Wales. Masuk ke dalam pesawat, ‘saya jalan terus ke baris ke-41, kerusi berhuruf ‘K’, bersebelahan tingkap. Ada seorang abang mat salleh yang berdiri di belakang saya dengan suka rela membantu meletakkan beg saya di ruang atas tempat duduk (dia maklum dengan kekurang-rendahan diri saya ini). Saya duduk di sebelah 2 orang warga Indonesia, Ibu Nita Budianto dan suaminya yang ingin menuju ke Roma. Mereka merupakan konsulat Indonesia yang menetap di Itali.

13 jam di dalam pesawat saya luangkan dengan menonton filem-filem yang agak menarik dan 100 muka surat novel Papertown yang masih belum sempat saya habiskan. Walau ruang dalam pesawat gelap, saya tidak boleh lelap. Saya perasan yang pramugari tu macam beri perhatian lebih dekat saya, orang semua pakat tidur, saya sahaja yang berjaga, maka dia asyik beri biskutlah, muffin lah, air lah, hospitality terbaikkkk. MasyaAllah!
Perjalanan ambil masa sepanjang malam maka tak nampak apa sangat, tapi kalau sentuh tingkap, memang sejuk ahh. Sampai di lapangan terbang Schipol Amsterdam Airport pada jam 0630. Jalan keluar daripada pesawat, saya ucap selamat tinggal dekat Ibu Nita dan suaminya. Kami bertukar email dan ambil haluan masing-masing.
Waktu itu waktu bersejarah. Detik itu detik pertama saya berseorangan di dalam sebuah negara yang namanya bukan sama sekali Malaysia. Saya kitari seluruh inci, tiada banyak beza ruang lapangan terbang itu. Tapi, yang beza ialah perasaan berada di situ. Saya tidak mungkin akan lupa, di tempat ini jugalah, insan-insan yang menaiki pesawat MH17 injak sebelum mereka berlepas dan ditakdirkan untuk bertem Dia, secara literalnya di atas sana.
Saya teliti papan informasi penerbangan dan kemudian mengambil keputusan untuk mencari mesin yang boleh memberitahu saya perihal pintu mana yang perlu saya pergi untuk mengambil penerbangan domestik ke Cardiff. Di dalam perjalanan, saya terserempak dengan 2 orang Melayu, Malaysian, anak dan ayah yang turut turun ke Amsterdam untuk transit dan bakal ke Prague. Saya sapa mereka dan berbual kurang 7 minit. Kemudian saya terus ke gate D4 dan mencari sudut sunyi untuk menunaikan solat subuh.
2 jam masa yang saya luang di Amsterdam, tidak lekang langsung perasaan yang bercampur baur mengenangkan mereka yang berada di dalam pesawat MH17. Hal ini membuat kotak fikir saya berputar ligat. Allah SWT itu Maha Agung dan setiap percaturanNya punya hikhmah yang Akhbar. Sebuah peringatan yang sangat hebat untuk saya, kerana dunia ini sementara, bumi Akhirat itu selamanya. Dan, kita hanya hamba dan makhluk lemah yang tidak mungkin akan berdaya melakukan apa-apa pun tanpa redhaNya.

oh Amsterdamm
Waktu berlepas pesawat tinggal kurang 30 minit. Penumpang pesawat domestik ke Cardiff semuanya menaiki bas dan dibawa ke pesawat yang terletak hampir 300m jauh di tengah lapangan. Keluar sahaja dari bas, seluruh tubuh saya yang terbiasa di bumi Malaysia yang panas dan lembab sepanjang tahun, dicucuk suhu dingin-sejuk-bahagian-peti-ais-yang-beku-yang-kita-biasa-letak-daging-dan-ikan-tu dan bingkas menaiki pesawat. Sama juga situasi, walau pesawat tu kecil sahaja, tetapi saya yang berketinggian 147cm ni tidak cukup tinggi untuk meletakkan beg galas saya di ruang atas kerusi lalu ada seorang pakcik yang baik hati ni tolong. Alhamdulillah.
Saya duduk di sebelah model yang berasal dari Canada yang turut dalam pesawat ke Cardiff untuk melawat sahabat istimewanya yang beraksi untuk pasukan hoki ais tempatan. Satu jam berada di atas pesawat itu tidak terasa lamanya. Hanya seketika. Mungkin sebab kami dua-dua seronok bersembang.
Saya tiba di lapangan terbang Cardiff 0920 waktu tempatan. Alhamdulillah! Syukur, selamat sampai di bumi Wales. Saya lalui pemeriksaan immegresen dengan mudah. Terus, saya cari wifi agar boleh saya whatapp rakan serumah saya untuk memberitahu yang saya sudah sampai. Saya keluar daripada lapangan terbang itu, tunggu tidak kurang lima minit dan kemudian menaiki bas dari Lapangan Terbang Cardiff ke Cardiff City Centre. Perjalanan yang mengambil masa hampir setengah jam dan 5 Pound itu berakhir dengan semyum mesra gadis cantik rupa dan pekerti, Nurul Sakinah. Dia datang jemput saya di depan pintu bas. Dia yang turut melanjutkan pelajaran di University South Wales, kampus ATRiuM Cardiff dalam jurusan Animasi 3D membunuh sekalian rasa sunyi yang mengisi segenap saya.
Kami berjalan kaki melintasi stadium Rugbi Cardiff dan sampai di rumah dalam lebih kurang 10 minit selepas itu.

Sebelah stadium Rugby sebelah sungai. Sebelah tu lah rumah sewa saya.
Perkara pertama yang melintasi kotak fikir saya, macam rumah Harry Potter! Haha.
Ada taman dekat depan rumah, angina sepoi-sepoi bahasa. Jalan basah sebab hujan. Indahnyaaaa.

Jalan nak ke rumah.

Home.
Saya dapat bilik tingkat atas. Comel sahaja. Syukur Alhamdulillah.

Nurul nak gerak ke kelas tengah hari tu, membuang segenap penat, saya yang semangat Sailormoon-Goku-Detektif-Conan pagi tu terus mahu turut serta mendaftarkan diri dan mengeksplorasi kampus saya.
Lepas membersihkan diri dan bersiap siaga, saya pun berjalan menuju ke kampus bersama dengan Nurul.

Bukan Diagon Alley =P
Kami berjalan menuju ke stesen bas tadi, menyeberang sungai dan melintasi stadium hingga sampai ke pusat bandar Cardiff, kami telusuri lorong-lorong di Queens Arcade, melepasi Cardiff Library dan Motorpoint Arena sebelum menapak di USW ARTiuM. Nurul tolong saya dapatkan Catherine Store, pegawai USW yang sudah berbulan berbalas email dengan saya sebelum dia menuju ke kelas.

Perpustakaan kalah mall beb!

University of South Wales, Campus ATRiuM Cardiff.
Saya isi beberapa borang, terima kad pelajar saya dan diperkenalkan dengan ketua kurus saya, Inga Burrows yang menerangkan tentang subjek-subjek yang bakal saya ambil, 4 subjek wajib tahun ke-2 dan 3 pilihan subjek elektif yang 2 daripadanya wajib saya ambil. Subjek-subjek wajib saya ialah, Documentary Film Making, Script to Screen, Project in Professional Practice Post Production dan Histories and Theories of Documentary. Saya pilih untuk belajar Film Producing dan New Hollywood dan tidak mengambil Short Film Script yang saya telah saya luangkan hampir 2 setengah tahun di UiTM mempelajarinya.
Selapas mendaftar, saya turun ke perpustakaan dan menunggu Nurul selesai dengan kelasnya. Kami berjalan pulang dan disambut oleh rakan serumah saya yang lain. Anisah, Sarah dan Syairah. Saya kenal Syairah sewaktu belajar di UiTM Puncak Perdana. Dia yang menuntut Diploma Perakauan di UiTM menempuh Minggu Destini Siwa bersama-sama dengan saya, sejak itu kami kenal. Dia dan Sarah belajar kursus yang sama, Ijazah Perakauan di University of Cardiff. Nur Anisah (www.nuranisahs.com), dia pelajar Uni of Cardiff, penuntut Ijazah Sarjana Muda dalam Sastera Inggeris yang punyai semua equipment studio photography dengan dia, lighting, tripod. Power masyaAllah!. =D dan Nurul pula, pelajar Ijazah Sarjana Muda Animasi 3D yang pandai edit2 video dan buat model (Klon Akwa Ariffin. Hee). Jiran saya, Aina, juga sama-sama menuntut dii UiTM Puncak Perdana, seiring dengan Syairah di university.

Berdiri dari kiri, Anisah, Aina, Sarah, Nurul dan Syairah.
Sampai di rumah, dengan kelajuan internet yang amat-sangat-sungguh membahagiakan seluruh jiwa raga saya, saya hubungi keluarga dan sahabat-sahabat saya melalui voicenote whatapp sebab nak tulis copy paste panjang. Hehe. Berbekalkan simkad Giffgaff lebih yang Nurul punyai, dia berikan kepada saya dan terus saya telefon mak dan ayah yang waktu itu sudah 2am waktu Malaysia.
Alhamdulillah. Itulah serba sedikit apa yang berlaku. Maaf atas berleret-leret dan berulang-ulang. Patik tahu tuan hamba akan baca waklau sudah cecah 1458 perkataan.
InsyaAllah, saya tekad untuk lebih kerap kemas kini blog dan mungkin akan memulakan siri vlog. Hee.
Itu sahaja untuk kali ini, doakan kemaslahatan saya ya.

With lots of love, from Cardiff, Wales.
❤ Ezzah Mahmud