Ezzah Mahmud
Berbengkel Penulisan Travelog Bersama Nisah Haron
InsyaAllah, dalam usaha untuk kembali menarikan jemari, aku luangkan sedikit masa dan tenaga ke Seremban, untuk berbengkel bersama Puan Nisah Haron yang aku sudah kenal dan gemar sejak waktu di MRSM Balik Pulau. Itulah saat pertama aku bertemu dengan karya beliau, dalam buku antologi Komsas, Anak Laut.

Bergambar bersama idola ❤
Bangun pagi itu dengan sedikit malas dan sengal. Bukan aku tidak teruja, sungguh teruja sahaja tidak dapat menggambarkan betapa aku sangatlah mahu mengikuti kursus ini. Cumanya, kursus bermula jam 8:30pm di Seremban 2, Negeri Sembilan. Aku pula menetap di Seksyen 2, Wangsa Maju. Jarak keseluruhan hampir 78km. Adib sudah menawarkan untuk menghantar aku, tetapi aku fikir, kelak dia pula yang akan kepisyangan di sana sendiri sewaktu aku berkursus. Aku tekad untuk terus menghadiri kursus ini. Jam semalam sudah aku tetapkan tepat 5:30am. Melawan kantuk, aku bangun dan mandi. Terasa badan sengal-sengal teruk. Alkisahnya sebab pada hari Sabtu, aku dan Adib serta kakakku, kami hadiri aktiviti panjat memanjat dinding di Putrajaya Extream Park. Memang lunyai. Hingga ke hari ini, Isnin, 2 hari kemudian badan masih terasa kejang. Boleh lihat ketidak cerdasan tubuh di situ.
Selepas solat berjemaah, Adib menghantar aku ke KL Sentral, dan alhamdulillah sempat menaiki tren yang bergerak tepat jam 6:43am. Aku perlu menaiki tren yang ini andai ingin sampai tepat pada waktunya. Dan jujur dengan waktu perjalanan, Alhamdulillah, aku sampai jam 8:07 di KTM Seremban. Sewaktu dalam perjalanan, sejuk beku itu tidak usah kiralah. Aku bersyukur sempat mencapai baju sejuk sebelum keluar rumah pagi tadi. Aku juga sempat berkomunikasi dengan salah seorang peserta lain, Nuraina namanya. Beliau turut menaiki KTM, cumanya beliau menaiki dari stesen Kajang. Kami merancang untuk menaiki Grab yang sama. Sangat teruja dan berbahgialah kiranya saat aku sampai di KTM Seremban. Ada terimbau kenangan indah yang tidak dapat aku lupakan. Di KTM inilah aku kerap dijemput abang saudaraku, anak abang ayahandaku, Abang Hafiz ataupun Abang Ijoi, sebelum kami bersama-sama menaiki bas ke Kampung Sri Lalang, di Rantau, tempat aku menghabiskan banyak hujung minggu sewaktu zaman Diploma di UiTM Puncak Perdana dulu.
Kami sempat bersembang di dalam Grab. Tanyanya, “study lagi ke?”. Aku sedikit perasan dan juga mendetakkan doa. “InsyaAllah, tahun depan saya sambung study”. Aina yang merupakan seorang bekas pelajar jurusan Kejuruteraan kini menetap di Kajang dan bekerja di Puchong. Setahun lebih tua daripadaku. Sudah beranak satu, kini berusia 4 bulan. MasyaAllah. Aku kagum sama kesungguhannya dan aku cadang mahu contohi bila aku ada anak kelak insyaAllah, ameen.
Grab berharga RM7, dan kami tiba lebih kurang 10 minit selepas itu. Melangkah masuk ke Inaraz Space (event space), yang berada di tingkat 1, di atas Inaraz Spa yang dimiliki oleh orang yang sama. Pintu masuk terhias iklan rentang “Bengkel Travelog bersama Nisah Haron”. Entah kenapa aku terus dupdapdupdap. Haish. “Jumpa idola sahaja kot, jangan buat malu dan jangan buat teruk na!” aku mengingatkan aku. Sesampai di dalam, Puan Nisah sedang menjemput seorang lagi peserta lain. Aku sedikit ternangis dan sudah senyum sampai telingat. Ya Allah, indahnya. Dapat bertemu penulis yang buat aku minat membaca dan menulis dan tegakkan lagi niat aku untuk meneruskan perjuangan selepas SPM di UiTM dalam Diploma Penulisan Kreatif. Mungkin beliau tidak akan pernah tahu betapa beliau sangatlah bermakna dalam hidup seorang Ezzah Mahmud. Tapi aku senyap simpankan sahaja dalam hati. Segan.
Selepas mendaftar, aku diberikan edaran berbentuk nota dan beberapa artikel. Alhamdulillah, turut tersedia kuih muih dan minuman 3 dalam 1 untuk sarapan. Aku ambil peluang untuk bancuh secawan milo, dan menjamah 1 karipap, 1 pengat pisang dan 1 pulut udang. Ah, indahnya. Tidak lama selepas itu, semua peserta sampai. Cik Hida. Puan Aina. Puan Aliza. En. Abu Bakar. Dr A’dauwiah, Cikgu Ruzana, Puan Azariah, Dr. Siti. Tidak lama selepas itu kami pun memulakan kursus. Bismillah.

Gambar Ihsan Grup Whatsapp Bengkel Travelog Seremban 2019
Selepas berkenalan ringkas, kami mulai kursus yang dikelolakan oleh Puan Nisah dan beliau sangat ehsan dalam menceritakan dan mengjar kami perihal penulisan travelog. Banyak perkara yang diterangkan antaranya kepentingan mencatit nota, dan bagaimana kita seharusnya membuka kesemua deria kita sewaktu mengembara ke sesuatu tempat, apa perkara yang perlu diberi perhatian dan tips-tips yang saya kira sangat banyak dan persis permata yang boleh aku gunakan sewaktu di Fukuoka 2-20 Oktober nanti. Doakan aku dalam menulis dan menghasilkan sebuah karya sempena penulisan di sana insyaAllah.

Nampak tak muka bahagia seorang Ezzah Mahmud di situ. 🙂
Kami berehat seketika untuk minum pagi dan sempat bersembang tentang pengalaman-pengalaman kembara masing-masing. Dr. Siti atau lebih senang dengan panggilan Bonda Siti menceritakan mengenai sebutan Jember. Di dalam perbualan beliau bersama salah seorang yang menanyakan ke mana beliau mahu pergi, sewaktu di atas kapal terbang. Beliau menyebut Jember dengan penggunaan e taling (bunyi e – enak), selepas beberapa kali menyebut, baharu dibetulkan oleh cik puan yang bertanyanya kepadanya. Jember sebetulnya disebut dengan bunyi e pepet (bunyi e – emak). Terpecah ketawa kami semua dengan penceritaan beliau. Puan Nisah turut menambah yang perkara seperti inilah yang sesuai ditulis di dalam penulisan travelog. Aku terus teringat kepada beberasa peristiwa seperti ini sewaktu melewati Jepun, Tunisia, Iceland, dan Amarika. Aku tertawa sendiri dalam hati.

Terima kasih ambilkan gambar saya ❤
Sambung berkursus, banyak cerita-cerita menarik yang diceritakan dan yang dikongsikan, contohnya apakah cendera hati yang sering dibawa pulang. Macam-macam juga rupanya. Ada yang pelik tapi ada juga yang mungkin sudah kurang dilakukan tetapi sangat malar, ceritera sekeping poskad. Puan Nisah berkongsi koleksi poskad yang dihantarkan kepada dirinya sewaktu mengambara dan juga poskad yang beliau terima daripada orang lain. Aduhhh. Bertempik aku keseronokan dalam hati. Aku rupanya sudah lama persis idolaku. Aku tidak pernah lupa untuk menghantar poskad kepada mak dan ayah, rakan taulan, pensyarah, crush dan juga insyaAllah selepas ini ke Puan Nisah dan rakan sekursus insyaAllah. Mungkin selepas juga aku perlu menghantar poskad ke diriku sendiri. Aku ingat, hanya sekali aku berbuat demikian, sewaktu di Kota Roma, Itali. Aku juga teruja melihat bangaimana setiap poskad itu tersusun cantik. Kemas. Aku hanya sumbatkan di dalam satu sampul besar. Boleh pinjam ide ini nampaknya!

Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari dan solat. Juadah tersedia nasi, ayam masak merah, kailan ikan masin, ikan talapia (rasanyalah, tak pasti pulak ikan apa, tapi besar jugak) masak stim dan juga masak tiga rasa. Indahnya ya Allah. Lama dah rasanya tidak makan ikan bakar gini. Kami turut disertai oleh Puan Salbiah (Tiras Raduan), seorang yang banyak mengembara dan menjelajah sewaktu bekerja, dan banyak menghasilkan karya. Orang-orang hebat ni masyaAllah, kerdil rasa diri yang sedia kecil ini.
Selesai solat, aku mengambil peluang untuk menelusuri koleksi buku-buku travelog Puan Nisah dan membeli buku-buku karya beliau. Aku sudahpun membeli beberapa buku beliau di Kedai Buku ITBM sewaktu mengikuti kursus Penterjemahan Am (Intensif) hujung bulan Julai yang lalu. Aku sudahpun mengeluarkan buku beliau daripada rak, dan meletakkan di atas meja kopi paginya tadi, tetapi tertinggal, tidak dibawa masuk ke dalam beg. Tidak sudah berjaya aku minta autograf. InsyaAllah, bengkel seterusnya bersama Puan Nisah nanti aku dapatkan autografnya. Ameen.


Kelas bersambung dan kali ini perkongsian bukan sahaja dilakukan oleh Puan Nisah, tetapi Puan Salbiah juga tuk berkongsi kisah-kisah pengembaraannya. Ceritera petua sewaktu menjejalah, perlu sentiasa ada duit receh dan duit gembel, yang masing-masing bermaksud duit kecil dan duit besar. Kita habiskan dulu duit kecil, baharulah duit besar. Dan bagaimana beliau akan menyimpan duit baki seusai balik dari sesebuah negara itu, kerana katanya, selalu ada kemungkinan beliau akan kembali menziarahi tempat itu. Aku boleh praktikkan di Fukuoka nanti. Kami turut dihidangkan dengan pisang goreng dan ubi goreng. Memang orang mengantuk disorongkan bantal!

Yeayy! Dapat sijil.
Kurus berakhir tidak lama selepas itu, dengan sesi bergambar dan autograf. Rasa sangat sekejap! Mahu dan mahu lagi. Aku akan ingat setiap apa yang dipelajari dan usaha untuk melatih semula jemari menari seperti zaman kegemilangannya pasca SPM dulu. Adakah 2019/2020 menjadi tahun pertama seorang Ezzah Mahmud menulis buku? Doakan ❤
Alhamdulillah, aku pulang bersama Kak Ida, yang tinggal di Setapak, tidak jauh daripada Wangsa Maju. Terima kasih kak hantarkan saya pulang. Seronok betul bersembang dan berkongsi cerita dengan Kak Ida. Aku yang memasak niat untuk menjadi pensyarah ini sempat berbincang hal-hal berkaintan universiti dengan Kak Ida yang memang bertugas di Open University.
MasyaAllah. Alhamdulillah. Ahad yang tepu ilmu dan hikhmah. Moga Allah buka ruang dan peluang untuk belajar dengan orang-orang hebat lagi. Mengutip ilmu buat bekalan dan manfaat dunia dan akhirat. Ameen.
❤ Ezzah Mahmud
#bengkelpenulisannisahharon #ezzahmahmud #penulisan #travelog