Ezzah Mahmud
Ada Apa dengan Vlog (10 Sebab Mengapa Ezzah Mula Vlog)
Assalamu’alaikum, Hi!
Rasanya, sudah agak lama saya tak menulis di blog ini, like properly blog, menulis blog dalam erti kata sebuah blogpost yang macam esei tu, sebab, selalu saya tulis puisi atau reblog post yang saya tulis untuk laman web lain. InsyaAllah, hari ini saya tekadkan hati nak menulis perihal ini dan kisahkan mengapa saya lakukan sedemikian.
Ready?
Hari ini, saya akan berbicara perihal projek baharu, atau boleh kata satu bentuk hobi yang saya mulakan. Mungkin tidaklah begitu baharu kerana saya sudah mulai sejak awal bulan Mac yang lalu. Tapi, ya, perihal vlog mingguan saya di Youtube. Vlog ni sinkof untuk video-log, ya, anda cakap depan kamera atau anda buatlah filem pendek ke, dokumentari pendek ke, dan muat naik video anda itu ke laman media sosial Youtube.
Ada 10 sebab mengapa saya mulai hobi ini;
1. Saya nak latih diri saya untuk rekod dan sunting video/filem
Bagi anda-anda yang kurang mengenali saya, saya sebenarnya sedang berada di University of South Wales, Wales, United Kingdom di Tahun Kedua dalam jurusan BA Hons Film and Video. Saya dapat rasa diri saya punya waktu senggang yang banyak. Dan, dalam banyak-banyak proses menghasilkan filem ni, saya sangat amat sungguhlah lemah dalam menyunting filem. Sungguh, selalu saya hanya akan arah, tulis dan rekod satu-satu projek tu, langsung, saya beri kepada rakan-rakan baik saya yang masing semua otai-otai editing ni, tapi, bila dah ada di sini, di bumi sebelah sini, rasa agak payah pula nak mintak tolong ke mereka yang masing-masing sudah sibuk dirangkul kerja dan tugasan tempat kerja atau uni, makanya saya ambil inisiatif untuk mulai rutin ini. Rutin yang secara langsung memberi tekanan positif untuk saya terus menghasilkan filem, secara konsisten, setiap minggu. Sama sahaja macam menulis, bila sudah biasakan jari menaip, bila sudah biasakan otak memuntahkan perkataan-perkataan, proses itu jadi jauh lebih mudah.
2. Saya mahu kongsikan kisah-kisah dan idea-idea untuk manfaat saya dan orang lain
Di dalam vlog saya yang pertama, “#1 Ada Apa Dengan Ezzah?” saya telah bariskan beberapa sebab mengapa saya mula aktif nak menghasilkan vlog mingguan. Saya rasa, dengan menghasilkan vlog jugalah, saya boleh sedikit sebanyak menzahirkan pandangan dan pendapat personal saya mengenai satu-satu perkara, dengan cara yang sedikit berbeza iaitu dengan verbal dan visual. Saya sentiasa dan akan selamanya insyaAllah menulis di blog ini, tetapi, dengan adanya video, saya juga boleh berkreatif dan memberi stimulasi kepada pembaca/penonton melalui visual.
3. Saya terpanggil untuk turut saya menyertai gagasan Youtuber sedunia
Sungguh, tidak pelik jika saya katakana bahawasanya saya seorang konsumer Youtube tegar dan jelas terinspirasi daripada video-video hasil Youtuber seperti Anwar Hadi, Aiman Azlan, Mat Lutfi dan tak lupa senior di UiTM, Akwa Arifin dan Kyopropaganda. Lebih daripada itu, saya juga kagum dengan Youtuber Amerika seperti Casey Neistat (Terima Kasih Anisah sebab perkenalkan!), WongFu Production, dan tidak lupa nama-nama bersar Youtuber yang berbondong-bondong di luar sana. Semestinya, saya ingin insyaAllah, mengikuti jejak langkah mereka, di dalam kapasiti yang boleh saya terjahi. Tak lupa, sedikit sebanyak menyumbang kepada bilangan Youtuber perempuan dari Malaysia.
4. Saya mahu menyediakan diri saya untuk Ijazah Sarjana Muda Dokumentari, DocNomads di Eropah
Saya dah lama usha program ni. Sejak zaman saya diploma UiTM lagi. DocNomads ialah sebuah program Ijazah Sarjana Dokumentari yang dikelola oleh beberapa universiti di Eropah, di bawah pentadbiran European Union. Hanya 24 orang sahaja pelajar diambil setiap tahun. Kursus Master 2 tahun ini akan berlangsung selama 4 semester. Semester pertama di Lisbon, Portugal, kemudian semester kedua di Budapest, Hungary dan semester ketiga di Brussels, Belgium. Untuk semester keempat, pelajar boleh pilih nak buat dekat salah Satu universiti, daripada tiga universiti sebelum itu. Saya tidak layak untuk pohon waktu saya lepas diploma dulu kerana tak cukup syarat. Mereka hanya terima permohonan daripada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Media dan Filem dan apa sahaja yang seangkatan dengannya. Jadi, dengan menghasilkan video mingguan, dan di dalam barisan video mingguan ini saya juga akan menghasilkan dokumentari pendek atau travelog yang seterusnya menjadi sebahagian daripada portfolio saya untuk memohon masuk ke program ini. Doakan saya dimudahkan dan diterima masuk kelak. Ameen.
5. Saya mahu menginjak pada tanah asing, negara-negara yang sebelum ni macam mustahil ja nak sampai
Sungguh, dengan ada rutin mingguan ni, saya jelas terpanggil untuk menjelajah dan merantau dan menerokai dan memerhati dan semestinya mengenali negara-negara yang ternyata berbeza dari Malaysia. Ini bukan sahaja untuk tumbesaran diri tetapi untuk kajian dan pemahaman mungkin dapat membantu meluaskan kotak fikir dan daya mental saya, mungkin juga insyaAllah dapat menyediakan saya untuk menulis buku tidak kiralah novel mahupun travelog, saya ada rujukan visual nak kembali andai hadapi writers block.
Dan bagi anda yang turut sama mahu mengnjak pada bumi asing, marilah mari, ini senarai perancangan saya insyaAllah. Hola saya dan kita boleh rancang perjalanan sekali! InsyaAllah.
1. Turkey – June 2015
2. Netherlands Denmark – July 2015
3. Portugal Spain – August 2015
4. France Italy – September 2015
5. Switzerland- October 2015
6. Morocco – November 2015
7. Norway Sweden Finland – December 2015
8. Greece Romania – January 2016
9. Hungary Croatia – February 2016
10. Bulgaria Austria – Mac 2016
11. Iceland – April 2016
12. Greenland – May 2016
13. Lithuania Belarus – June 2016
14. Estonia Latvia – July 2016
15. Chech Slovakia Poland – August 2016
6.Mak ayah saya tengok, perkembangan dan tumbesaran anakanda yang jauh dari bumi Malaysia
Apabila saya menghasilkan video mingguan, InsyaAllah, Mak dan Ayah dan ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan dan cikgu-cikgu juga boleh, secara tidak langsung mengubat rindu mereka ke saya. Terutama Mak dan Ayah saya, mereka tidaklah begitu social media savvy, dan saya seringkali telefon mereka, tak mampu nak video call sebeb mereka tak begitu fasih dengan Skype, Viber etc. Alhamdulillah, hingga ke saat ini, Mak dan Ayah saya tidak terlepas lagi menonton video-video saya. Mereka akan tonton video saya di rumah Atok saya, bila mana sepupu saya tolong tunjukkan di internet komputer rumah.
7. Sebab saya ada kamera, dan semua benda yang saya perlu untuk menghasilkan filem
Alhamdulillah, sejak sampai ke Cardiff ni, barang-barang yang saya tidak ada sebelum ini sudah mampu saya beli. Terima kasih MARA! Sekarang, saya sudah cukup radas untuk menghasilkan video-video yang tidak segan untuk saya kongsikan dengan dunia. Alhamdulillah, usai berjimat sejak sampai sini, saya kini miliki Canon 70D, Slider, Flycam, Reflector, Tripod, Rode Mic, dan Studio Light Set. Adalah amat sangat sungguhlah menyedihkan andai saya tidak produktifkan diri dalam menghasilkan video. Semua kelengkapan sudah ada, semangat dan usaha nak buat tu sahaja tinggal.
8. Sebab saya nak manfaatkan ruang dan peluang dah ada jauh ni, nak bekukan masa dalam bentuk visual
Memandangkan saya kini berada lebih kurang 16,000 km dari rumah, dan hidup dikelilingi budaya dan cuaca dan gaya orang yang berbeza daripada Malaysia, mungkin saya boleh manfaatkan situasi ini untuk saya bekukan dalam bentuk video. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang dah berjauhan, biar video jadi galang-gantinya. Alang-alang dan hidup di bumi orang, alangkah lebih indah kalau boleh buat weekly home video. ^^v
9. Sebab saya nak cabar diri saya untuk pergi lebih jauh!
Pada luaran, saya mungkin jelas tampak keyakinan diri unggul seorang Ezzah Mahmud, tetapi, yang pasti, saya seorang yang terdiri daripada rasa tidak cukup baik dan tidak mampu untuk produktif dalam menghasilkan karya, tidak kiralah karya itu berbentu tulisan ataupun video/filem pendek. Makanya, ini salah satu manifestasi visual, yang saya gunakan sebagai penanda aras kepada produktiviti seluruh saya.
10. Sebab saya nak pastikan sebab nombor 1 sampai sebab nombor 9 saya zahirkan dan realisasikan, bukan omong kosong.
Sekian, itu saja untuk kali ini. Jangan diri anda-anda sekalian. Doakan patik sukses =D