Ezzah Mahmud
Baca?

Menulis tapi tak baca? Baca untuk suka-suka atau untuk apa?
Hari ini hari indah. Penat tapi indah. Walau agak gundah tapi sudah biasa jatuh rebah jadi sudah tidak kisah.
Hari ini hari pertama untuk semester baharu. Semester empat insyaAllah.
Tak sangka, sudah tiga sem berlalu dan aku masih lagi kurang membaca.
Sedih. Tapi itulah hakikat. Perit untuk ditelan dan percaya, tapi benar dan tidak auta.
Aku belajar penulisan tapi aku sudah kurang baca.
Jujur, sebelum ini terutama sewaktu ingin menduduki peperiksaan SPM di MRSM, waktu itulah fasa-fasa aku kuat baca buku. Serius!
Sepatutnya buku Biologi atau Kimia yang aku perlu dan wajib baca, tapi hati kecil aku tetap menyanyi-nyanyikan lagu-lagu pembakar semangatku untuk baca novel + majalah dewan bahasa/sastera dan segala yang sewaktu dengannya.
Tolak tepi sudah segala yang berkaitan dengan kira-kira. Alhamdulillah, subjek Matematik masih boleh lagi aku gagahi, tetapi… Matematik Tambahan aku buang ketepi. BUANG! Ah! Matematik Tambahan akan tetap menjadi mimpi buruk tahap maksima selama aku hidup dekat dunia ni. Percaya atau tidak, subjek inilah satu-satunya subjek yang pernah buat aku menangis seperti…(sila buat persepsi sendiri, creative control on you!)
Terus, kini aku belajar Penulisan Kreatif, dan juga Filem. Tidak perlu semua itu dan aku bahagia. SubhanAllah, Allah sahaja tahu betapa aku bersyukur. Alhamdulillah!
Tapi, aku… belakangan ini agak kurang membaca. Mungkin terlalu dibayangi oleh kerja produksi dan juga aktiviti-aktiviti luar sehingga tidak berkesempatan untuk membaca. Sedih! Sedih kerana terasa lain. Lain sungguh T_T
Jadi…
InsyaAllah, mulai semester ini. Pada tarikh dan masa ini, aku bertekad untuk membaca sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan. Hasilnya, aku perlu melakukan ulasan mengenai buku itu di blog ini.
Ini adalah sebagai cabaran untuk membaiki dan memperkukuh ilmu dan menyebar-luas imaginasi, untuk menulis dan berkarya, untuk mencinta dan membunga-buahkan ilham.
Ayuh! Jom sama-sama kita cuba. Baca dan tulis prosa tinggal legasi raksasa agar tidak jadi mangsa dunia fana seketika!
Tak pasti sama ada blog ini punyai pembaca atau tidak. Tapi aku penulis jadi aku tulis. Moga Allah lindung dan pelihara.
Jaga diri semua. Tembak doa untuk kita semua tak lupa saudara kita di seluruh dunia. Ingat, hidup bukan seorang dua. Satu dunia kita punyai, ayuh jaga dan jadikan diri ini manfaat yang terbaik untuk semua! Amiin.
Baraakallahu feekum!